Feeds:
Posts
Comments

Archive for the ‘Ilmu’ Category

Menghafal ialah tahap pertama belajar

“Belajar jangan menghafal.”

“Yang penting faham walaupun tidak hafal.”

Berlegarnya fatwa dan petua yang salah ini dari anak sekolahan hinggalah ke peringkat orang yang yang gelar professor.

 

Sehinggakan timbul persepsi bahawa menghafal itu tidak termasuk dalam satu kaedah belajar dan sesuatu yang tidak memberi faedah kepada pengetahuan.

Walhal tanggapan ini sangat salah dan tersasar.

Menghafal adalah satu dari teknik belajar. Bukan itu sahaja, ia merupakan teknik tahap paling awal dalam belajar. Lebih dari itu lagi ia merupakan teknik yang Allah tunjukkan ketika mengajar manusia pertama yang Dia ciptakan untuk menjadi pentadbir/ khalifah bumi, Adam alaihissalam.

Sistem inilah yang diwariskan dan diguna-pakai dalam tradisi kecemerlangan orang-orang beriman sehingga berjaya melahirkan tokoh, ilmuwan dan sarjana Islam dari berbagai bidang. Umumnya agama yang diredhai oleh Allah hanyalah Islam sejak dari Nabi Adam. Namun sengaja digunakan istilah beriman, kerana sebahagian manusia membezak-bezakan antara ajaran Islam dan ajaran yang dibawa oleh Nabi Isa dan rasul-rasul sebelumnya.

Nabi Adam menghafal nama-nama

Allah telah mengajarkan suatu contoh ketika mengajarkan Nabi Adam selepas penciptaanya,

“Dan telah diajarlah oleh Allah akan Adam as dengan beberapa nama benda. Lalu apabila Adam as menghafal nama-nama benda tersebut, maka Allah panggil malaikat (Allah hadirkan malaikat di hadapan Nabi Adam as), kemudian Allah suruh malaikat sebut pula nama-nama benda yang telah Allah ajar kepada Adam as. Maka menjawab para malaikat: Maha suci Engkau wahai Allah, kami tidaklah tahu apa-apa pun, kecuali yang telah Engkau ajar kepada kami. Sesungguhnya Engkau ini adalah Tuhan yang Amat Mengetahui lagi Amat Bijaksana.” (Surah al-Baqarah, ayat 31-32)

Nah, apabila kita semak semula cara tradisi dan konservatif seorang ibu mengajar anaknya. Apakah hal pertama yang diajarkan?

Bukankah secara tabi’i dan fitrah ibu-ibu akan mengajarka nama-nama benda yang berada di sekitar mereka. Anak-anak tidak diajar kata kerja atau tatabahasa di usia 4 tahun! Hanya sahaja teori manusia mutakhir memulakan mengajar anak-anak dengan sesuatu yang abstrak yakni huruf roman. Atau yang kononnya mahu Islamik, mengajarkan alif ba ta. Walhal Allah tidak mengajarkan begitu kepada Adam. Juga para Nabi tidak mengajarkan begitu kepada umatnya.

Mohd Riduan Khairi

Country Height, Kota Kinabalu

Read Full Post »

Mencintai Ahlus Sunnah

Salah satu dari tanda Ahlus Sunnah ialah mereka mencintai tokoh, ulama dan sarjana Ahlus Sunnah. Persis yang dituturkan oleh Rasulullah (selawat dan salam buat beliau),

“Seseorang akan bersama dengan siapa yang dia cintai”. (Bukhari, Muslim, Abu Dawud & Tirmidzi)

Kalau Faisal Tehrani memuji-muji dengan menyebut-nyebut Jalaluddin Ar-Rumi, Ali Shariati dan Jalaluddin Rakhmat dalam kertas kerjanya, nescaya dia bersama-sama dengan mereka tempatnya di dunia dan di akhirat.

Abu Raja’ Qutaibah bin Said menulis dalam bukunya Al-Iman,

Apabila engkau melihat seorang lelaki menyukai Sufyan Saury, Malik bin Anas, Al-Auzaie, Syu’bah, Ibnul Mubarak, Abul Ahwash, Syarik, Waqi’, Yahya bin Said dan Abdurrahman bin Mahdi, maka ketahuilah bahawa lelaki itu adalah Ahlus Sunnah.

Ahmad bin Salamah menambah dalam nota kaki buku ini,

Saya menambah dengan tulisanku di sebelah bawah bukunya; dan siapa yang menyukai Yahya bin Yahya, Ahmad bin Hanbal, Ishak bin Ibrahim bin Rahawaih.

Manakala Syaikh Abu Othman Ash-Shabuni (373-449H) menambah,

Mereka adalah ulama’ Ahlul Hadith yang telah mengikuti ulama’ tersebut dan termasuk dari mereka. Di antara mereka ialah

  1. Muhammad bin Idris Asy-Syafie (Imam Syafi’e)
  2. Said bin Jubair,
  3. Az-Zuhri,
  4. Asy-Sya’bi
  5. At-Taimie
  6. Laist bin Sa’d Al-Misrie,
  7. Sufyan bin Uyainah,
  8. Hamad bin Salamah,
  9. Hamad bin Zaed,
  10. Yunus bin Ubaid,
  11. Ayyub As-Sakhtiani
  12. Ibnu Aun
  13. Yazid bin Harun Al-Wasithi,
  14. Abdur Rarrak bin Hammam As-San’ani
  15. Jarir bin Abdul Hamid Ad-Dabbie
  16. Muhammad bin Yahya Az-Zuhali
  17. Muhammad bin Ismail Al-Bukhari (Imam Bukhari)
  18. Muslim  bin Hajjaj Al-Qusairy (Imam Muslim)
  19. Abu Daud Sijastani (Imam Abu Daud)
  20. Abu Zur’ah Ar-Razi
  21. Abu Hatim Ar-Razi
  22. Muhammad bin Aslam At-Thusi
  23. Abu Said Othman bin Said Ad-Darimi As-Sijzie
  24. Imam Muhammad bin Ishak bin Khuzaimah An-Nisaburi (Ibnu Khuzaimah)

disarikan dari Bab 32 buku Aqidah Salaf Ahlul Hadith oleh Syeikh Abu Othman Ismail bin Abdurrahman Ash-Shobuni (373-449 Hijrah). disemak dan teliti semula oleh Badr bin Abdullah Badr. Terjemahan oleh Ustaz Abdul Wahab bin Bustamy (Jahabersa 2003).

Sengaja saya menjejerkan senarai panjang nama-nama tokoh ulama salaf. Mereka-mereka ini ilmuwan dalam erti-kata benar-benar ilmuwan dan diakui kesarjanaannya. Kalau sarjana hari ini diberi setelah menyiapkan tesis setebal beberapa ratus atau ribu halaman kajian, sarjana dahulu pula menulis ratusan bahkan ribuan judul. Judulnya sahaja sudah ratusan apatah lagi halamannya.

Sarjana dan Karya Besar

Perlu diberi catatan, karya-karya sarjana Islam tidak gah pada judulnya sahaja, bahkan pada kualiti dan saiznya. Dalam sejarah tamadun moden (saya rujuk kepada 100-200 tahun belakangan ini), kita belum menemui karya sebesar Bidayah wal Nihayah (Ibnu Katsir) atau Tarikh Ath-Thobari ataupun Majmu’ Fatawa Taimiyah. Masing-masing karya mereka setebal puluhan jilid. Saya pernah meliaht terjemahannya di Pesta Buku Islam Jakarta awal tahun ini. Jilidnya sahaja mengjangkau dua depa, subhanallah.

Besarnya karya sarjana Islam tidak sama dengan besarnya karya pengarang bukan Islam. Lord Of The Ring itu bolehlah dikatakan besar juga, namun ia hanya memuat perkataan dan khayalan pengarang. Walaupun tidak dinafikan buku itu ditulis dengan teliti berdasarkan sedikit pemerhatian dan kajian.

Namun jika dibandingkan karya sarjana Islam dahulu, setiap fakta yang dinyatakan sumber rujukan secara tepat dan spesifik.

Sekali lagi, sengaja saya jejerkan senarai panjang ulama terdahulu yang diakui keilmuan mereka bahkan direkomen merentasi zaman. Sudah ada usaha-usaha menerbit dan mencetak karya-klasik karangan mereka seperti yang diusahakan di Arab Saudi. Dan yang lebih menggembirakan lagi ialah versi terjemahan dalam bahasa Melayu (merujuk kepada bahasa Melayu Indonesia) juga seiring cepat dengan edisi Arabnya. Sebagai contoh Usul Sunnah oleh Imam Ahmad bin Hambal, Syrhus Sunnah oleh Imam Barbahari, kedua-dia karya ini sudahpun diterjemahkan ke dalam Bahasa Indonesia.

Saya menanti-nanti terjemahan buku akidah antara yang paling awal ditulis Fiqh Akbar oleh Imam Abu Hanifah.

Read Full Post »

Pesan Imam Asy-Syafie kepada Penuntut Ilmu

Barangsiapa yang belajar Al-Qur’an, maka harga dirinya menjadi mulia.

Barangsiapa yang belajar fiqh, maka menjadi cerdik daya nalarnya.

Barangsiapa yang belajar ilmu bahasa, maka tabiatnya menjadi lunak.

Barangsiapa yang belajar imu matematik, maka akan banyak ra’yi(pendapat logik)nya.

Barangsiapa yang menulis hadith, maka hujjahnya menjadi kuat.

Barangsiapa yang tidak menjaga dirinya, maka tidak bermanfaat ilmunya.

(Al-Manjmu’ Syarah Al-Muhdzib, dipetik dari The Mystery Of The Quran Secret Power)

Read Full Post »

Abdullah bin Abbas menggunakan analogi @ tamsilan ketika menceritakan mulianya peribadi sahabat Mua’awiyah bin Abu Suffyan (Allah redha kepada mereka),

“Orang ramai mendapat manfaat daripada kemurahan dan kedermawan Mu’awiyah bagaikan mereka mengambil manfaat dari laut”.

(Tarikh At-Tobari, dipetik dari Maulana Asri Yusof, Sayyidina Mu’awiyah Khalifah Rashid Yang Teraniaya, Pustaka Basyirah 2007)

Read Full Post »

Dalam nota yang lepasa saya sempat mencatatkan 3 bentuk pengajaran yang disampaikan Luqman kepada anaknya. Iaitu, perintah, larangan dan memberikan perbandingan (analogi).

Analogi

Untuk catatan, analogi merupakan satu kaedah dalam bercerita. Al-Quran dan hadith sangat banyak memuat cerita dan kisah-kisah untuk dijadikan teladan. Antara yang paling masyhur dalam Al-Quran ialah kisah Nabi Yusuf, kisah Nabi Ibrahim, kisah sahabat gua ‘ashabul kahfi’ dan banyak lagi.

Dalam hadith juga disebutkan nabi banyak bercerita seperti kisah Ummu Zarra dan Abu Zarra, kisah pemuda yang membunuh 99 lalu ingin bertaubat dan banyak lagi. Semoga Allah memberi saya kesempatan untuk mencatat secara khusus bab analogi dan kaedah cerita dalam Al-Quran.

Penjelasan dan alasan

Pada bahagian akhir nota yang lalu, saya menyebutkan perintah dan larangan dalam wasiat Luqman berkosngsi satu ciri sepunya. Kedua-duanya tidak berdiri sendiri. Semua perintah dan larangan diikuti dengan penjelasan dan alasan. Saya bawakana analisis (ayat 13-19) dalam rajah dibawah :

(Kita teliti dahulu penjelasan dan alasan yang diberikan oleh Luqman kepada anaknya. Kemudian, kita akan bicarakan pula tentang bentuk-bentuk penjelasan dan alasan yang digunakan)

Surah Luqman Perintah @ Larangan

Penjelasan @ alasan
Ayat 13 Janganlah kamu mempersekutukan Allah Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar
Ayat 14 dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya ibunya telah mengandungnya dalam keadaan sangat lemah
dan menyusukan dalam masa dua tahun
bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu kepada Akulah jua tempat kembali
Ayat 15 dan jika mereka berdua mendesakmu supaya mensyirikkan Ku dengan sesuatu yang kamu tidak tahu maka janganlah kamu taat kepada mereka;
Akan tetapi layanilah mereka di dunia dengan cara ang baik
Turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepada Ku kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah lakukan
Ayat 16 Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya) kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi amat meliputi akan segala yang tersembunyi.
Ayat 17 dirikanlah sembahyang
dan suruhlah berbuat kebaikan,
laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar
bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu Sesungguhnya hal itu adalah dari perkara-perkara yang utama
Ayat 18 Dan janganlah kamu memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia,
dan janganlah kamu berjalan di bumi dengan berlagak sombong Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
Ayat 19 Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan,
juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata) Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai

Read Full Post »

Raja’ bin Haiwah (w112 H)

“Sesungguhnya pada suku Kindah terdapat tiga orang yang melalui doa mereka, Allah turunkan hujan dan menangkan atas musuh, salah satunya adalah Raja’ bin Haiwah” (Maslamah bin ‘Abdul Malik)

Beliau lahir di Palestin ketika zaman Uthman Affan. Merupakan penasihat (menteri) kepada bebepara khalifah termasuk Sulaiman bin Abdul Malik dan Umar bin Abdul Aziz.

Justeru nama Raja’ tidak dapat dipisahkan dari sejarah Hisham bin Abdul Mali, lebih-lebih lagi sejarah Umar bin Abdul Aziz.

Barisan gurunya

Beliau mengambil hadith dari beberapa orang sahabat termasuk :

  1. Abu Sa’id al-Khudry,
  2. Abu ad-Dardâ`,
  3. Abu Umâmah,
  4. ‘Ubadah bin ash-Shâmit,
  5. Mu’âwiyah bin Abu Sufyân,
  6. ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Âsh,
  7. an-Nawwâs bin Sam’ân shahabat lainnya.

Bakti kepada orang tua

Suatu pagi Raja’ sedang menyampaikan kajian hadith di hadapan ribuan pelajar di masjid. Menjelang siang, tiba-tiba ibunya memanggil, “Wahai Raja!”

Sambut beliau, “Ya wahai ibuku”.

Hari sudah siang, berikan anak-anak ayam makan”, balas ibunya.

Kemudian Raja’ pun menutup catatan hadith di hadapannya, meninggalkan majlis dan menuruti perintah ibunya.

Begitulah sikap seorang hambah Allah yang saleh, sekalipun bergelar ulama’ menyandang posisi sebagai penasihat khalifah. Namun di sisi orang tua, beliau adalah seorang anak yang selalu sedia untuk patuh pada kehendak dan perintah orang tuanya.

(Kisah ini dinukilkan oleh Ustaz Armen Halim Naro rahimahullah dalam kuliahnya)

Sikap Raja’ kepada ahli bid’ah

Disebalik sikapnya yang lunak terhadap orang tua dan pemerintah kaum Muslimin, beliau mengambil pendirian sebaliknya terhadap ahli bid’ah.

Khalifah Hisyam bin Abdul Malik pernah merasa kesal kerana telah menghukum dua pelaku bid’ah yang menentang ajaran salaf, Ghiylan dan Shaleh. Berita ini sampai kepada Raja’, lalau beliau mengutus sepucuk surat kepada khalifah,

Aku mendapat tahu bahawa tuan merasa gelisah kerana telah menghukum bunuh dua pelaku bid’ah, Ghiylan dan Shaleh. AKu bersumpah dengan nama Allah bahawa tindakanmu, wahai Amirul Mukminin, lebih baik dari membunuh dua ribu tentera Rom dan Turki.

Beliau mati pada tahun 112 Hijrah.

Bacaan tambahan

1. Potret 28 Tokoh Tabiin, Azhari Ahmad Mahmud

Read Full Post »

Kredit kepada Tuan Nawawi untuk petikan hadith dan atsar sahabat.

Abdullah bin Abbas merupakan salah seorang anak murid Nabi yang cemerlang. Beliau digelar sebagai lautan ilmu oleh Al-Imam Mujahid bin Jabar Al-Makkiy. Beliau paling pandai mentafsir Al-Quran dan melaporkan lebih 1600 hadith Nabi (orang yang ke-5 banyak melaporkan hadith).

“Sekiranya Ibnu ‘Abbas sampai kepada umur/masa kita, nescaya tidak ada seorang pun di antara kami yang dapat menandingi (ilmu)-nya. Sebaik-baik penafsir al-Qur’an adalah Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu.”

(Direkodkan oleh al-Hakim, Ta’liq adz-Dzahabi : Sahih di atas Syarat al-Bukhari dan Muslim)

Ciri-ciri Penuntut Ilmu

Abdullah bin ‘Abbas (wafat 68 H) berkata :

“Aku pernah berada di rumah Maimunah binti Al-Haarits. Maka aku ambilkan untuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam (air) untuk bersuci.

Beliau pun bertanya:“Siapakah yang mengambilkan (air) ini?”.

Maimunah menjawab: “Abdullah”.

Beliau berkata: “Ya Allah, faqihkanlah ia dalam agama dan ajarkanlah ilmu ta’wil (tafsir) kepadanya”.

(Hadis Rekod Ibnu Hibban, Ath-Thabrani, Ahmad, al-Bukhari, Ibnu Sa’ad, dan Ibnu Abi ‘Ashim)

Hadith di atas membawa banyak pengajaran. Antaranya keutamaan Abdullah bin Abbas dan kefahaman beliau di dalam Al-Quran.

1. Adab murid kepada gurunya

Abdullah bin Abbas menyediakan keperluan gurunya tanpa diminta. Seorang sahabat yang lain, Anas bin Malik mengabdikan dirinya berkhidmat di dalam rumah Rasul untuk selalu dekat dengan peribadi agung ini. Anas dilaporkan menjadi sahabat yang banyak melaporkan hadith.

Anak murid yang baik selalu prihatin dengan keperluan gurunya.

2. Doa seorang guru kepada anak muridnya

Rasulullah mendoakan Abdullah bin Abbas. Berkat doa Rasul disamping usaha keras, akhirnya Abdullah bin Abbas menjadi pakar tafsir Al-Quran.

Doa tidak sebatas selepas solat atau majlis tertentu dengan menadah tangan dan mengaminkan bersama.

Setiap perkataan yang baik ialah doa. Setiap perkataan guru kepada anak muridnya adalah doa.

Bukan sekali Rasul mendoakan Abdullah bin Abbas. Beberapa laporan menunjukkan Rasul sering mendoakan agar Abdullan bin Abbas cerdik dalam agama dan tafsri Al-Quran.

Selain Abdullah, Rasul juga pernah mendoakan anak-anak murid (dipanggil sahabat) yang lain seperti Abu Hurayrah supaya kuat hafalan. Abu Hurayrah menjadi sahabat yang paling banyak melaporkan hadith dari Rasul. Dianggarkan lebih 5000 hadith.

3. Doa menjadi motivasi

Setiap perkataan yang baik merupakan doa. Perkataan yang baik juga menjadi motivasi.

Rasulullah tidak pernah mengeluarkan perkataan yang buruk kepada sahabatnya.

Beliau mendoakan beberapa kali agar Abdullah bin Abbas menjadi pintas agama dan pandai tafsir. Doa ini beliau ucapkan kadang-kala dengan mengusap-usap bahu Ibnu Abbas.

4. Doa disusuli dengan usaha yang keras

Lantaran doa dari insan yang paling mulia, Abdullah dan Abu Hurayrah tidak pulang dengan senang hati dan berleha-leha dalam mencari ilmu. Bahkan mereka dilaporkan tidak pernah penat dan jemu mengetuk pintu rumah sahabat-sahabat yang lain untuk berguru selepas kematian Rasulullah.

5. Ilmu didatangi bukan mendatangi

Anak murid yang baik berusaha mencari guru. Abdullah bin Abbas dan Anas bin Malik, dua contoh sahabat yang selalu mendampingi gurunya.

Pelajar yang baik ialah pelajar yang sampai dahulu sebelum guru sampai di majlis kuliah.

Abdullah bin Abbas pernah bercerita,

“Pernah aku mencari satu hadits dari seseorang, dengan cara pergi ke rumahnya. Ketika itu ia kebetulah sedang tidur siang. Lalu aku bentangkan kainku di muka pintunya, lalu duduk menunggu, sementara angin menerbangkan debu kepadaku, sampai akhirnya ia bangun dan keluar berjumpa dengan aku.

Maka katanya: “Hai hai saudara sepupu Rasulullah, apa tujuan kamu datang? Kenapa tidak pesan supaya aku datang kepadamu?”

“Tidak!” ujarku, “sepatutnya akulah yang harus datang berjumpa kamu!”

Kemudian aku tanyakan sebuah hadits dan aku belajar daripadanya!”

6. Yang Memiliki Ilmu Lebih Mulia

Abdullah bin Abbas ialah anak didik Rasulullah. Beliau ahli keluarga Rasul yang mulia. Bahkan beliau juga anak seorang bangsawan dan hartawan, Abbas bin Syaibah (Abdul Muttalib).

Namun beliau tidak pernah mengenangkan kemuliaan itu ketika mendampingi Rasulullah untuk menuntut ilmu.

Beliau juga tidak segan silu untuk bertanya kepada sahabat yang lain tentang hadith yang beliau belum tahu.

Pujian Terhadap Abdullah bin Abbas.

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah menulis dalam Fathul Baari :

“Doa ini merupakan satu bentuk jaminan dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, di mana beliau mengetahui keadaan Ibnu ‘Abbas atas keilmuannya di dalam bidang tafsir dan kefaqihannya (kefahamannya) di dalam agama – radliyallahu ta’ala ‘anhu”.

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah berkata di ketika menyebutkan nama-nama sebagai rujukan di dalam penafsiran al-Qur’an:

“Di antara mereka adalah: “al-habrul-bahr” ‘Abdullah bin ‘Abbas, anak pak cik Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “turjumaanul-qur’an”, dan orang yang memiliki barakah doa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, di ketika beliau bersabda: “Ya Allah, faqihkanlah ia dalam agama, dan ajarkanlah ia ilmu ta’wil (tafsir)”.

Read Full Post »

Syarahan Qaradhawi di Masjid Shah Alam

Catatan dua syarahan oleh sarjana Islam Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi.

1. Syarahan Jihad di PICC, Putrajaya. Klik

2. Syarahan tentang Hijrah di Masjid Shah Alam. Klik.

Read Full Post »

Wacana : Adab Menuntu Ilmu

Oleh : Ustaz Yazid Abdul Qadir Jawas

Berikut saya titipkan bingkisan dari satu sesi Seminar dan Forum Iman Orang Asing. Seminar diadakan di Akademi Pengajian Islam UM baru-baru ini. Ia membariskan tokoh pendakwah dari dalam negara dan Indonesia.

Ustaz Yazid merupakan pendakwah sunnah yang terkenal di Indonesia. Seringkali diundang membentangkan kertas kerja dan menyampaikan kuliah di negara kita.

Beliau membahaskan wasiat ulama’ tentang adab-adab menuntu ilmu.

1. Ikhlas

Seorang penuntut ilmu seharusnya ikhlas semata-mata kerana Allah. Ikhlas merupakan asas sesuatu amal diterima. Satu perkara yang paling penting untuk dijauhi ialah riak. Tidak sedikit dari penuntut ilmu diuji dengan sikap sombong dan riak dengan ilmu yang dikurniakan.

Riak bukan perkara kecil, kerana riak adalah sebahagian dari syirik.

2. Menuntut ilmu perlu terus-menerus

Ustas Yazid menegaskan setiap Muslim wajib menuntut ilmu selagi mana ia masih hidup. Beliau menegaskan betapa seorang penuntut ilmu harus mendisiplinkan sekurang-kurangnya 4 jam pada setiap hari untuk membaca.

Dua penyakit yang boleh menghalang seseorang untuk menuntut ilmu ialah malu dan sombong.

Beliau mengutip 6 ciri penuntut ilmu yang baik.

  • Akal yang cerdas
  • Keinginan yang kuat
  • Syukur
  • Persedian bekalan yang mencukupi
  • Bimbingan guru
  • Memperuntukkan masa yang panjang

3. Berlumba-lumba untuk beramal soleh

Sebahagian dari penuntut ilmu, balajar hanya untuk menapatkan teori dan sijil semata-mata. Justeru sebanyak ilmu yang diperoleh, sedikit puntidak menambahkan amal dan rasa takut kepada Allah.

Seorang penuntu ilmu yang baik, ialah sentiasa terus beramal dengan ilmu yang dipelajari walaupun sedikit. Inilah sikap para sahabat terhadap perintah Allah dan Rasul. Mereka dengar dan taat, terus beramal dengannya tanpa tangguh.

4. Ilmu berlandaskan Al-Quran dan Sunnah mengikut faham generasi awal (salaf as-salih).

Tanpa pemahaman generasi awal, maka teks wahyu dengan mudah dimanipulasi dan diseleweng maknanya mengikut nafsu dan kehendak peribadi.

5. Seru perkara baik dan cegah perkara mungkar

Ini merupakan satu tuntutan ilmu. Selepas diamalkan perlu disebarkan kepada yang lain.

6. Akhlak yang mulia

Ilmu yang sahih membentuk peribadi ang berakhlak mulia. Nabi dalam beberapa teks hadis yang sahih menyebut umat manusia paling banyak msuk syurga dengan dua perkara ; taqwa dan akhlak yang mulia.

Selain itu beliau menambah, kita perlu memperuntukkan sebahagian wang  untuk tujuan ilmu, sama ada menghadiri seminar dan kuliah, mahupun membeli bahan-bahan bacaan.

Beliau menyebutkan para ulama sebelum ini sanggup berhabis wang bergadai untuk membeli bahan-bahan ilmu. Iniyang sepatutnya dicontohi oleh golonga penuntu ilmu pada hari ini.

Read Full Post »